Friday, April 29, 2011

Dahsyatnya Qiamullail


Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salam serta selawat buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta semua yang istiqamah mengikuti baginda.

Entah kenapa jadi lambat pula untuk menulis sesuatu di blog ini. Telah beberapa kali sign in namun akhirnya ditutup semula. Bukan tidak punya masa. Kemalasan yang melanda barangkali atau idea hilang dengan tiba-tiba, biar apapun alasannya namun alhamdulillah akhirnya dapat juga mengisi masa dan tenaga dalam ruangan ini.

Banyak perkara yang telah dibuat dan banyak perkara pula yang tak dapat dibuat, (pasti ada hikmahnya di sini) kita hanya tahu apabila sesuatu perkara itu berlaku. Qadar dan Qadha' adalah rahsia Allah (hanya sesetengah sahaja yang Allah beritahu seperti dalam kisah Nabi Musa as berguru dengan Nabi Khidir), namun syukur kepada Ilahi, kerana dengan limpah kurniaNya banyak juga yang dapat dipelajari, melalui buku-buku, blog-blog, akhbar dan CD ceramah (cuma yang perlu ditingkatkan  ialah amalan - sangat perlu digagahi). 


Alhamdulillah, tahun ini dapat juga berkunjung ke PBAKL (tahun-tahun lepas tak berupaya) dan dapatlah membeli beberapa buah buku. Banyak jugalah lebih kurang 15 buah (dapat satu buku percuma 'Rona-Rona Cinta Damascus' dengan pembelian buku 'Lorong Kematian' di booth PTS ). Singgah juga di Galeri Ilmu dan di Ana Muslim jadilah kesemuanya yang dibawa pulang 16 buku, 2 majalah (Solusi ulang cetak isu  ke 6 dan Milenia terbaru serta 4 buah buku kanak-kanak (untuk cucu yang sangat berminat membaca) dengan pertolongan Allah juga. Hanya dua buku saja dipamerkan di sini dan alhamdulillah telah selesai membaca "Dahsyatnya Qiamullail". Selepas ini kenalah bercuti dahulu daripada membeli buku, kena membaca pula.

Dalam buku "Dahsyatnya Qiamullail' ini dinyatakan mengapa malam begitu hebat; malam disifatkan Allah sebagai malam yang berkat. Banyak perkara berlaku pada waktu malam contohnya Nabi Muhammad SAW Israk dan Mikraj pada waktu malam, al-Quran turun pada malam Lailatul Qadr, Nabi Musa melihat api di kejauhan dan Allah berkata-kata dengannya berlaku pada waktu malam, Nabi Musa as juga bermunajat selama 40 malam di Bukit Tursina, Nabi Ibrahim menemui hakikat Tuhan pada waktu malam. Kitab-kitab terdahulu juga diturunkan pada waktu malam. Nabi Ibrahim mendapat perintah Allah mengorbankan anaknya Ismailpun berlaku pada waktu malam dan banyak lagi perkara-perkara kerohanian berlaku pada waktu malam..

Apakah rahsia yang tersimpan pada waktu malam?

Sudah menjadi ketetapan Allah kita pasti mengalami dua keadaan iaitu siang dan malam. Allah berfirman:

"Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah - yang lain dari Allah - tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma". (Faatir 35:13)

Ciri malam ada DUA iaitu:

Pertama : Suasana gelap, mengapa gelap? sebab pada waktu malam matahari sudah tidak menyinarkan cahayanya lagi, hanya bulan dan bintang sahajalah yang menyinarkan cahayanya yang samar-samar. Allah berfirman:

"Dan lagi dalil yang terang (tanda kebesaran Allah) untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;" (Yaa Siin 36:37)

Kedua : Suasana hening dan suyi sepi. Mengapa? Sebab pada waktu inilah waktu istirehat atau waktu tidur bagi semua makhluk di bumi. Allah berfirman:

"Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki". (Al-Furqaan 25:47)

Di sebalik dua ciri itu tersimpan kekuatan luar biasa pada waktu malam.
  • Menghidupkan dan membuka mata batin sebagaimana Nabi Ibrahim mencari-cari siapakah Tuhannya.
  • Dapat mendatangkan tumpuan atau kekhusyukan
  • Dapat muhasabah kekuatan diri
  • Mewujudkan keikhlasan dan kejujuran dalam beramal
  • dan banyak lagi

Apabila menusia mendekatkan diri kepada Allah maka Allah mengatur dan menjamin kehidupannya. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari; Rasulullah SAW menerangkan bahawa Allah berfirman:

"Manusia menjadi dekat dengan Aku apabila dia melakukan perbuatan yang Aku sukai iaitu amalan fardhu yang diperintahkan kepadanya. Dia kemudian terus berusaha mendekatkan dirinya denganKu dengan melakukan amalan sunat, sehingga aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar. Aku juga menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangan yang dia gunakan untuk memgang dan kaki yang dia gunakan untuk berjalan. Apabila dia memohon sesuatu kepadaKu, pasti Aku kabulkan. Apabila dia memohon perlindungan, pasti Aku memberikan perlindungan kepadanya".

Banyak keterangan tentang hadis-hadis keistimewaan 1/3 malam, Allah turun ke langit dunia, pentafsiran tentang kalimah 'turunnya' Allah, kaifiyat berqiamullai, boleh pelbagaikan amalan ketika qiamullail, bukan setakat melakukan solat tahajud, tapi membaca al-Quran, dengan memahami isi kandungannya, berzikir dan beristighfar muhasabah diri serta menangis mengenangkan dosa-dosa.

A079


"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji". (Al-Israa' 17:79)

Menurut ustaz Kariman dalam tadabbur tentang kalimah الْحَمْدُ ; tahajjud di situ bermaksud ibadah pada waktu malam sebagai nafilah iaitu tambahan.

Pentingnya ialah keikhlasan beramal; yakni bila dilakukan pada waktu malam; esoknya atau bila-bila janganlah pula memperdengarkan kepada orang lain kerana akan jadi su'mah ataupun riya', apabila ini berlaku mungkin pahalanya sudah tidak ada lagi (tertaaluk kepada niatnya). InsyaAllah bila ikhlas beramal hanya kerana Allah, dapat ganjaran pahala di dunia dan juga di akhirat. Buku yang satu lagi tu (Amalan meraih ganjaran pahala) belum lagi selesai membacanya baru separuh.

Sekian wassalam.

No comments:

Post a Comment